SEJARAH PUSAT SUMBER
Pusat Sumber Sekolah yang merupakan
gedung ilmu mempunyai sejarah menarik dan panjang. Pusat Sumber Sekolah
bermula dengan nama “khutub khanah”, yang diwujudkan oleh penjajah
Inggeris sejak awal abad ke-19, hanya merupakan satu sudut buku dalam
bilik darjah. Secara amnya keadaan khutub khanah di sekolah Inggeris
adalah jauh lebih baik daripada Sekolah Aliran Melayu. Namun begitu
tujuan utama “khutub khanah” bukanlah menyokong proses pengajaran dan
pembelajaran.
Apabila saiz koleksi buku di “khutub
khanah” meningkat dan memerlukan ruang yang jauh lebih besar, nama
“khutub khanah” didapati tidak lagi sesuai dan digantikan dengan
“perpustakaan”. “Perpustakaan” pula lebih merupakan satu tempat di mana
terdapat koleksi buku bagi memenuhi keperluan pembacaan di samping
pembangunan pendidikan dan bahasa murid.
Perpustakaan sekolah mula diberi
perhatian pada tahun 1960an setelah adanya cadangan-cadangan daripada
Persatuan Perpustakaan Persekutuan Tanah Melayu (1962) dan penerbitan
Manual Perpustakaan Sekolah (School Library Manual) yang disediakan oleh
Puan Margaret Walker pada tahun 1964 untuk Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM), antaranya:
- Koleksi buku dan bahan diletakkan di sebuah bilik khas yang dipanggil “Perpustakaan Sekolah”.
- Guru Perpustakaan diberi latihan pengurusan perpustakaan selama setahun di institusi yang diperakui.
- Tiga jenis akhbar disediakan di perpustakaan sekolah setiap hari.
- Nisbah buku dengan murid ialah 1:10.
Usaha KPM mendapatkan khidmat beberapa
pustakawan Amerika menunjukkan keperihatinan terhadap pembangunan
perpustakaan sekolah dan cadangan penambahbaikan tersebut dilaksanakan
secara progresif.
Pada tahun 1967, Surat Pekeliling
Ikhtisas Bil. 3/1967 telah diwartakan bagi mengurangkan beban tugas Guru
Perpustakaan. Selain itu, kursus pra-perkhidmatan dan dalam
perkhidmatan mula diperkenalkan. Pada tahun yang sama juga, Perpustakaan
Sekolah telah diletakkan di bawah pengurusan Bahagian Buku Teks, KPM
sehingga tahun 1973. Selepas itu, pengurusan perpustakaan sekolah
diserahkan pula kepada Perkhidmatan Perpustakaan Sekolah, Pengurusan
Sekolah, KPM.
Penubuhan Unit Perpustakaan Sekolah
secara keseluruhannya telah membawa kesan yang mendalam terhadap
pembangunan perpustakaan sekolah. Menyedari hakikat bahawa perpustakaan
sekolah memainkan peranan penting dalam usaha meningkatkan kualiti
pendidikan, beberapa tindakan telah diambil, antaranya:
- Pada tahun 1974, geran per kapita (PG) perpustakaan sekolah mula diperkenalkan bagi tujuan pembinaan koleksi.
- Sains Perpustakaan diintegrasi sebagai salah satu mata pelajaran dalam silibus di maktab perguruan.
- Pada tahun 1979, kursus satu tahun untuk Guru Perpustakaan di perkenalkan di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur.
- Surat Pekeliling bagi memastikan terdapat ruang atau bilik disediakan bagi mewujudkan sebuah perpustakaan sekolah diedarkan.
- Kursus Pengurusan Perpustakaan Sekolah 35 jam dan 45 jam diperkenalkan.
- Jawatankuasa Pengelola Perpustakaan Sekolah Peringkat Kebangsaan dan tujuh (7) Jawatankuasa Pengelola Perpustakaan Sekolah Peringkat Negeri diwujudkan.
Perkembangan pesat perpustakaan sekolah
dimantapkan lagi dengan penerbitan Rancangan Pembangunan Perpustakaan
Sekolah di Malaysia (Blueprint For School Library In Malaysia)
pada tahun 1979. Rancangan Pembangunan ini telah menggariskan beberapa
asas kepada perolehan bahan bacaan, kemudahan fizikal, sumber manusia,
pengurusan dan penggunaan.
Pada tahun 1980an, perubahan trend dalam
bidang teknologi pendidikan telah meningkatkan penggunaan bahan alat
pandang dengar dalam P&P. Bilik Alat Pandang Dengar telah diwujudkan
bagi mengurus bahan-bahan tersebut. Seterusnya, pada 1 Mac 1983, KPM
telah mengarahkan pertukaran nama Perpustakaan Sekolah kepada Pusat Sumber Sekolah (PSS)
bagi mencerminkan penggabungan perkhidmatan perpustakaan dan alat
pandang dengar di sekolah. Arahan ini telah melahirkan Sektor
Pengurusan Sumber Pendidikan di Bahagian Teknologi Pendidikan dan
seterusnya pembangunan semua Pusat Sumber Sekolah terletak di bawah
tanggung jawab Bahagian Teknologi Pendidikan, KPM mulai 1988.
Selain itu, rangkaian pusat sumber
pendidikan mula diwujudkan. Empat (4) Pusat Sumber Pendidikan Negeri
(PSPN) iaitu di Kedah, Pahang, Terengganu dan Kelantan telah dibina pada
tahun 1981-1983, dan sebanyak 350 buah Pusat Kegiatan Guru (PKG) telah
ditubuhkan pada penghujung tahun 1980an. Kini semua negeri telah
menubuhkan PSPN - sekarang dikenali sebagai Bahagian Teknologi
Pendidikan Negeri (BTPN) dan bilangan PKG telah meningkat kepada 368
buah. Antara fungsi utama adalah untuk memantau pelaksanaan program PSS
dan teknologi pendidikan di peringkat negeri dan zon/daerah.
Pada tahun 2000, KPM telah melancarkan
Tahun PSS (Surat Pekeliling Bil. 10/2000 bertarikh 20 April 2000).
Tujuan utama Surat Pekeliling ini adalah untuk menyedar dan menggalakkan
semua sekolah agar mempertingkatkan usaha bagi menaik taraf PSS. Ini
adalah susulan daripada salah satu resolusi yang dibuat di Persidangan
PSS Peringkat Kebangsaan pada tahun 1999. Pada tahun 2000 juga, program
Khidmat Bantu PSS dan Anugerah PSS Cemerlang julung-julung kali
diadakan.
No comments:
Post a Comment